Saturday, July 10, 2010

Cinta buat Nabi Muhammad S.A.W

Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luar biasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku setelah Nabi menempuh tahun dukacita di mana Nabi telah kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal. Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah meghadapi cobaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.
Bayangkanlah bagaimana remuk redamnya perasaan Nabi ketika itu. Hilang teman hidup yang telah berkorban segala-galanya untuk Nabi dan perjuangan Islam, kemudian dikecewakan, dimalukan dan dicederakan oleh bangsanya sendiri. Baginda keseorangan dalam menghadapi tentangan musyrikin jahiliah.
Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk israk dan mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.
Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Namun, saya begitu tertarik dengan 2 pengajaran penting daripadanya iaitu

1. Kewajiban solat lima waktu telah dianugerahkan kepada umat Muhammad. Kewajiban solat diwahyukan terus tidak seperti kewajiban ibadat lain seperti zakat dan puasa yang diturunkan sebagai wahyu dan disampaikan melalui Jibril. Itu menunjukkan betapa penting dan istimewanya solat. Kewajiban solat juga adalah hadiah yang paling berharga kepada Nabi untuk merawat segala kesedihan dan kemurungan yang baginda hadapi.
Solatlah sebenarnya jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kita hadapi. Andai kita berhadapan masalah yang berat yang tak tertanggung, kekecewaan yang tak terbendung, kebuntuan mencari jalan keluar, keresahan dan kekosongan jiwa, kembalilah kepada Allah. Carilah pengampunanNya dan berbicaralah terus dengan Nya.
Hamburkanlah segala duka lara dan resah gelisah jiwa kepada Yang Maha Pencipta, dalam setiap sujud kita. Jangan disimpan kemarahan kita kepada manusia. Lepaskanlah segala kekecewaan kita itu dan mengadulah kepada Yang Maha Bijaksana.

2. Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Abu Bakar beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi memang telah pergi ke Palestine dan merentasi 7 langit pada satu malam.
Bayangkanlah jikalau perkara yang sama itu disampaikan pada kita sekarang. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan mula menggunakan logik akal kita lalu akan menolak kesahihan peristiwa itu dengan alasan tak masuk akal dan tak logik? Kita akan mula mengeluarkan teori sains yang kita tahu yang menafikan manusia boleh merentasi 7 langit hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?
Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj jika dihayati dengan sesungguhnya, akan mengukuhkan keimanan kita dan memperkuatkan rasa takjub kepada kekuasaan Allah dalam mengatur kehidupan makhluk Nya. Peristiwa Israk Mikraj mengajar untuk percaya kepada perkara ghaib dan percaya kepada Al-Qur’an dan Hadith sebagai panduan dan penyelesai kepada masalah hidup manusia.
Israk dan Mikraj adalah dua perjalanan hebat sebagai anugerah dan kemuliaan kepada Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Allah SWT. Ia juga satu mukjizat besar bagi junjungan Baginda SAW sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha suci tuhan yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan kami. (Surah Al-Israk, ayat 1)

Kebanyakan ulama sepakat mengatakan peristiwa Israk dan Mikraj berlaku selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul dan berlaku dalam keadaan sedar bukan mimpi.

Ulama sejarah mempunyai pendapat berbeza dalam menentukan tahun, bulan serta malam yang tepat mengenai peristiwa hebat ini.
Sebagai seorang Muslim, kita percaya ada tujuan dan hikmah tertentu bagi Allah SWT kerana menyembunyikan tarikh itu seperti dirahsiakan bilakah malam lailatul qadar, masa mustajab doa pada hari Jumaat dan waktu mustajab doa pada setiap malam.

Antara pendapat ulama yang boleh diketengahkan:

  • Imam Nawawi dan Ibnu Abdul Barr berpendapat ia berlaku setahun sebelum hijrah berdasarkan hadis isteri Baginda SAW, Aisyah dan Ummu Hani yang menyebut peristiwa itu berlaku pada malam 17 Rabiulawal atau pada malam 27 Rejab.
  • Ibnul Jauzi berpendapat berlakun lapan bulan sebelum hijrah.
  • Rabi Bin Salim berpendapat berlakunya enam bulan sebelum hijrah.
  • Syekh Ibrahim Al-Harbi berpendapat berlakunya setahun 11 bulan sebelum hijrah dan disokong oleh Ibnul Munir dalam kitabnya Syarhus Sirah.
  • Berdasarkan apa yang dikeluarkan Imam At-Tabari dan Baihaqi, berlakunya Israk dan Mikraj pada Syawal atau Ramadan.
  • Berdasarkan riwayat Abi Saad dari Ibnu Abi Sirah peristiwa itu berlaku pada pada Ramadan 18 bulan sebelum hijrah.
  • Diceritakan oleh Ibnul Athir, Iyad dan Imam Qurtubi daripada Az-zuhri bahawa berlaku Israk dan Mikraj tiga tahun sebelum hijrah. (Kitab Israk dan Mikraj oleh Ibnu Hajar Asqalani, halaman 22), (Kitab Israk dan Mikraj oleh Dr Abi Syaibah, halaman 36).
  • Syeikh Ahmad Syakir dalam kitabnya berjudul Israk dan Mikraj menyebut bahawa Al-Hafiz Abd Ghani Ibnu Surur Al-Maqdisi menyebut dalam sirahnya bahawa ia berlaku pada malam 27 Rejab yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia dan kebanyakan kaum Muslimin dewasa ini.

    Perjalanan Baginda ke langit juga disebut Mikraj di mana Nabi SAW dipertemukan dengan semua anbiya berdasarkan kedudukan dan kemuliaan mereka di sisi Allah SWT.

    Pada langit pertama Baginda bertemu Nabi Adam, langit kedua Baginda bertemu Nabi Isa dan Yahya, langit ketiga Nabi Yusuf.

    Baginda SAW bertemu Nabi Idris (langit keempat), Nabi Harun (langit kelima), Nabi Musa (langit keenam) dan Nabi Ibrahim (langit ketujuh) sehinggalah ke sidratul muntaha di tempat yang tidak dapat dicapai makhluk selain Muhammad SAW (sepohon pokok yang dedaunnya lebar mengeluarkan bau harum).


(Sumber Tafsir al-Quran Al-Azim oleh Al-Hafiz Ibnu Kathir)
http://jiwarasa.wordpress.com/2004/09/10/peristiwa-israk-mikraj/

No comments:

Post a Comment

GLAD THAT WE MADE IT TO MANCHESTER (^.^)

Our UK trip will incomplete if we didnt come to Manchester.  The main purpose of us coming to the UK was to visit my twin sister who is ...